page contents

CikguMurni dot com

Tuesday, 17 January 2012

Bimbingan Khas Murid Lemah Tahun 6

Bermula pada hari ini hingga ke hujung bulan Januari, saya akan mengajar 6 orang murid lemah Tahun 6 sebagai persediaan awal mereka untuk menghadapi UPSR pada tahun ini.

Pada awal kelas, saya memulakan sesi perkenalan sesama mereka atau pun dipanggil sebagai aktiviti 'Ice Braking'. Semasa aktiviti ini, masing-masing akan memperkenalkan diri masing-masing secara lebih mendalam supaya rakan-rakan dapat mengetahui apa yang tidak diketahui oleh mereka sebelum ini. Mungkin mereka belajar di dalam satu kelas selama 6 tahun, namun masih lagi tidak mengetahui latar belakang keluarga rakan mereka.

Namun, semasa aktiviti ini dijalankan, saya agak musykil apabila ada di antara mereka yang tidak pandai menyebut jumlah adik-beradik mereka. Malah, pekerjaan ayah dan ibu sendiri pun tidak diketahuinya. Lantas di dalam hati saya berbisik, "Patutlah murid ni lemah dalam pelajaran, pekerjaan ayah dan ibu sendiri pun tidak tahu". Dengan sekilat pantas juga saya terus berbisik, "Isy...isy...tak patut mengata orang, sebab tu tujuan aku untuk memulihkan mereka sekadar yang termampu dalam masa yang singkat ni".

Berdasarkan aktiviti yang dijalankan ini, dapatlah saya simpulkan bahawa betapa pendidikan untuk anak-anak tidak cukup hanya di sekolah sahaja. Tugas guru-guru hanyalah menyampaikan ilmu dan mendidik supaya murid dapat mengamalkan ilmu tersebut. Namun, segala bentuk tingkah-laku dan belaian kasih sayang perlu hadir dari ibu bapa murid itu sendiri. Pendidikan formal di sekolah hanyalah sekitar 6 jam sehari. Selebihnya adalah di bawah pemerhatian ibu bapa. Sebab itu, pendidikan anak-anak ini tidak boleh dibebankan di atas bahu guru sahaja.

Berbalik kepada aktiviti murid tadi, saya pun terus memberikan dorongan dan kata semangat kepada mereka supaya lebih rajin berusaha untuk mencapai kejayaan. Tidak manusia yang bodoh yang lahir di dunia ini, yang ada hanyalah manusia yang malas untuk berusaha. Saya memberikan pelbagai analogi supaya murid lebih faham tentang maksud yang saya ingin sampaikan.

Dalam masa yang sama, puas juga saya memikirkan apakah langkah dan strategi yang patut saya gunakan untuk memulihkan murid-murid ini. Daripada apa yang disampaikan oleh guru Tahun 6, mereka ini boleh membaca, cuma tidak memahami apa yang mereka baca. Saya telah menguji tahap pembacaan mereka tadi, dan kelihatan mereka boleh membaca walaupun tidak selancar mereka yang petah membaca. Strategi apa yang patut saya gunakan? Apakah teknik-teknik yang perlu saya aplikasikan? Harap ada yang sudi memberikan cadangan dan berkongsi idea.

Semoga berjumpa lagi.

No comments:

Post a Comment