page contents

CikguMurni dot com

Sunday 16 December 2012

Konstruk LINUS

Poster bersaiz A4, Konstruk-konstruk Program LINUS. Sesuai ditampal di papan kenyataan kelas anda. Muat turun percuma di sini.


Carta Alir Pelaksanaan Program Pemulihan Khas

Berikut adalah Carta Alir Pelaksanaan Program Pemulihan Khas. Saya ambil carta alir dari Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012 yang telah dikeluarkan baru-baru ini oleh pihak BPK, KPM.

Saya mereka semuala dalam bentuk poster dan ingin berkongsi dengan guru-guru yang lain. Untuk muat turun, silalah ke ruangan Muat Turun pada menu di atas.


Saturday 15 December 2012

Siaran Akhbar: Program Khatan Perdana SK Seksyen 27(1)

Pada hari ini, laporan mengenai Program Khatan Perdana SK Seksyen 27(1) dapat disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian.

Majlis ini telah berlangsung pada 10 November 2012 (Sabtu) dan dianjurkan oleh PIBG SK Seksyen 27(1). Seramai 49 orang peserta menyertai program yang buat julung-julung kali diadakan.


Peranan Guru Pemulihan / Pemulihan Khas


1. Merancang dan melaksanakan Program Pemulihan Khas mengikut prosedur yang telah ditetapkan;

2. Memastikan murid tahap 1 dan tahap 2 menguasai kemahiran asas 3M sebagai sasaran kerja tahunan (SKT);

3. Menjalankan IPMBDP dan ISD kepada murid yang kebarangkalian mempunyai ciri-ciri bekeperluan khas;

4. Membantu guru-guru mata pelajaran dalam mengenal pasti murid-murid yang perlu mengikuti Program Pemulihan Khas;

5. Berjumpa dan berbincang dengan guru mata pelajaran, guru bimbingan, ibu bapa dan pihak-pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tingkah laku, tahap kesihatan dan lain-lain keterangan  mengenai latar belakang murid;

6. Bertindak sebagai Setiausaha Jawatankuasa Program Pemulihan Khas serta menjadi ahli Jawatankuasa Kurikulum Sekolah;

7. Mengadakan latihan perkembangan staf mengenai Program Pemulihan Khas di peringkat sekolah; dan

8. Menghadiri kursus/bengkel/taklimat yang dianjurkan oleh KPM/JPN/PPD.

Dapatkan poster bersaiz A4 mengenai Peranan Guru Pemulihan Khas untuk ditampal di papan kenyataan di dalam kelas anda. Klik di sini.


Wednesday 12 December 2012

Penangan Guru

Seperti biasa, pada setiap penghujung tahun, pihak Google akan mengeluarkan data dan statistik mengenai carian terhangat dan popular sepanjang tahun, tidak kira mengikut statistik dunia mahupun negara tertentu seperti Malaysia.

Apa yang menarik adalah carian terhangat melalui Google Malaysia adalah menunjukkan bahawa carian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah atau lebih dikenali sebagai SAPS adalah merupakan carian terhangat di Malaysia iaitu menduduki tempat pertama. Manakala Sistem Pengurusan Latihan Guru atau lebih dikenali dengan SPLG menduduki tempat ke sembilan secara keseluruhan.



Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kuasa guru ini cukup kuat di dalam arena internet serta menunjukkan kesan penggunaan aplikasi online yang diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Apa tidaknya, mengikut statistik daripada laman sesawang rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan jumlah guru di negara ini adalah seramai 412,720 orang. Jumlah guru seramai ini mungkin menjadi penyumbang kepada tingginya carian SAPS. Ia ditambah pula dengan jumlah ibu bapa yang turut mengakses portal SAPS ini.

Selain itu, apa yang saya perhatikan, semakin ramai guru yang mempunyai blog atau pun laman web sendiri. Ini merupakan suatu perkembangan yang cukup sihat, kerana setiap guru berlumba-lumba untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama-sama guru seluruh negara.

Kesimpulannya, hebat juga penangan guru, jangan main-main dengan guru. :-)

Sumber data daripada Google Zeitgeist 2012

Monday 10 December 2012

Petikan Akhbar: Kesulitan Sistem PBS Diatasi

Utusan Malaysia, 10 Disember 2012 (Isnin)

Melalui PBS, murid dan pelajar dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan serta tidak terikat dengan keperluan peperiksaan semata-mata.


Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menambah baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh kira-kira 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Ketika ini, kementerian dalam tindakan menyediakan hosting baharu bagi memudahkan guru mengakses ke dalam sistem yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan guru yang terpaksa memperuntukkan masa agak lama untuk mengakses sistem tersebut.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian, tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian adalah dengan memindahkan SPPBS ke hosting baharu dalam usaha mengatasi tersebut pada masa ini.

Tindakan itu adalah bagi menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak sehingga 40,000 orang pada satu-satu masa untuk mengakses sistem berkenaan.

"Pihak kementerian juga telah menggandakan bilangan server daripada 4 kepada 20 buah server mulai November lalu bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang ramai", kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada Ruangan SMS Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai rungutan 'Guru Kini' yang mendakwa PBS menambah bebanan guru kerana sukar memasuki laman web sistem tersebut walaupun pada waktu awal pagi.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian amat prihatin dengan kesukaran dan masalah yang terpaksa dihadapi guru berhubung perlaksanaan sistem baharu itu namun yakin masalah yang timbul akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.

Kira-kira 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.

Melalui sistem baharu ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.

Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.

Ia bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.

Ia merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.

Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.

PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Bagi PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan.

Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

Saturday 1 December 2012

Garis Panduan Pemulihan Khas 2012

Pihak Bahagian Pendidikan Khas telah pun mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012 yang baharu bagi menggantikan garis panduan yang lama.

Apa yang diperhatikan di dalam garis panduan baharu ini, ia telah diselaraskan dengan pelaksanaan program LINUS dan juga PBS (Penilaian Berasaskan Sekolah), termasuklah dengan sistem pemfailannya.

Untuk muat turun, layari Portal Rasmi Bahagian Pendidikan Khas KPM atau muat turun melalui Blog CikguFais dot my.