page contents

CikguMurni dot com

Monday 5 December 2011

Bahan Bantu Belajar - Kalendar

image



Bahan ini saya buat semasa cuti sekolah ini. Baru berjaya membuatnya walaupun dah lama merancang untuk membinanya.

Kalendar ini boleh diselit supaya mudah menukar hari dan tarikhnya setiap hari.

Antara bahan daya gunakan adalah mounting board, foam tape, kertas A4 berwarna 120gsm dan tali.

Posted from WordPress for Android

Sunday 27 November 2011

Tahun Baharu Hijrah 1433

Salam tahun baharu hijrah 1433. Moga tahun baharu ini membawa semangat baharu untuk berusaha lebih jitu bagi mencapai matlamat yang diimpikan.

Moga sesi persekolahan akan datang merupakan sesi terbaik perkhidmatan kita berbanding tahun sebelumnya.



Posted from WordPress for Android

Thursday 24 November 2011

Kelas Tambahan Malam Anjuran PIBG

PERHATIAN UNTUK BAKAL MURID TAHUN 6 2012 SK SEKSYEN 27(1). Pihak PIBG akan menganjurkan Kelas Tambahan Malam sebagai persediaan untuk menghadapi UPSR 2012. Sehubungan dengan itu, anda dijemput untuk mengikuti kelas ini yang akan bermula Januari hingga Ogos 2012. Maklumat lanjut mengenai kelas ini ada dinyatakan di dalam surat tawaran. Surat ini boleh diperolehi di pejabat sekolah. Surat juga boleh diperolehi daripada saya dengan menyertakan alamat emel di dalam ruangan 'Comment' di bawah. Sila sahkan penyertaan anda dengan menghantar borang jawapan balas ke pejabat sekolah sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Program Cerdik Literasi

Program Cerdik Literasi untuk murid Literasi Tahun 1 SK Seksyen 27(1). Program dianjurkan semasa cuti akhir tahun bagi mengisi masa lapang murid. Terima kasih kepada Cikgu Siti Rahimah, Cikgu Nur Azela dan Cikgu Prema atas penganjuran program ini.

Friday 18 November 2011

Watch "Pengumuman UPSR 2011 SK Seksyen 27(1)" on YouTube





Posted from WordPress for Android

Sunday 23 October 2011

Blog ini telah diceroboh pagi ini

Salam sejahtera semua,
Pagi ini seperti biasa saya ingin menyemak dan mengemaskini blog ini. Namun saya amat terkejut apabila saya tidak boleh login dan didapati blog ini telah di'hacked' oleh pihak yang tidak diketahui.

Alhamdulillah masalah ini dapat diatasi dengan mengemaskini fail-fail yang telah diceroboh oleh pihak mereka. Namun saya kurang pasti bagaimana untuk meningkatkan tahap keselamatan supaya blog ini tidak lagi di'hacked' semula. Ada sesiapa yang boleh bagi cadangan?

[caption id="attachment_611" align="aligncenter" width="565" caption="Inilah rupa muka utama blog saya apabila saya ingin meng'akses' pada pagi ini"][/caption]

Wednesday 19 October 2011

Kursus Pemantapan P&P Pemulihan Khas

Tarikh: 20 dan 21 Oktober 2011
Tempat: Dewan SK Dato' Onn Jaafar, Subang Jaya
Masa: 8.30 pagi - 4.30 petang



Posted from WordPress for Android

Tuesday 18 October 2011

Bahan Bantu Belajar - Objek 3D

image

Bahan bantu belajar untuk tajuk Objek 3D.



Posted from WordPress for Android

Saturday 15 October 2011

Buku Aktiviti Pemulihan Khas

Buku ini telah dibekalkan oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana pada 3 Oktober 2011 yang lalu. Saya kurang pasti sama ada buku ini diedarkan ke seluruh sekolah di Malaysia.

Saya berkira elok juga ada buku aktiviti sebegini dan digunakan oleh murid Pemulihan Khas.



Thursday 6 October 2011

Pelaksanaan Saringan 3 dan 6 LINUS 2011

Saringan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) bagi tahun 2011 akan dijalankan mengikut perancangan yang telah ditetapkan seperti berikut:

Saringan Lisan: 3-22 Oktober 2011
Saringan Bertulis: 30 Oktober - 18 November 2011
Pengisian Data: 7 - 18 November 2011

Posted from WordPress for Android

Wednesday 5 October 2011

Membaca dalam kumpulan

image

image

Pada hari ini saya meminta murid-murid saya duduk dalam kumpulan untuk membaca buku bacaan. Murid telah pun menunjukkan kemampuan dan peningkatan ketika membaca.

Saya turut meminta murid duduk bersama-sama untuk membantu rakan-rakan mereka membaca. Bimbingan rakan sebaya cukup membantu dalam perkara sebegini.

Murid kelihatan bangga dan puas kerana sudah mampu membaca sendiri walaupun tidak berapa lancar. Diharapkan mereka agar terus berusaha untuk memajukan diri.

Cabaran besar didik anak istimewa (Autisme)

petikan dari Berita Harian (4 Oktober 2011)
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kanak-kanak autisme perlukan perhatian, bimbingan dan sokongan

BUDAK lelaki itu sememangnya comel. Berkulit cerah, rambut nipis keperangan dengan mengenakan baju Melayu biru biji kundang, menyerlahkan lagi sisi bergaya dalam dirinya.
Gelagatnya juga menghiburkan sesiapa saja yang melihatnya. Bibirnya pula sentiasa menguntum senyuman. Segala-galanya tampak sempurna seperti anak sebaya usianya.
Tetapi, apabila lensa jurufoto New Straits Times Press (NSTP), Saifulizan Tamadi, tiba-tiba terjatuh, di depannya ketika ingin merakam gambar bersama ibunya, ramai mata berpaling ke arahnya kerana, dia tiba-tiba tergelak besar tanpa henti.



“Ammar memang macam inilah, dia akan ketawa biarpun sesuatu perkara itu tidak melucukan. Itulah ‘tanda’ normal kanak-kanak autisme,” kata ibunya, Nuraihan Hamsiah Abdul Salam, 33, memberikan penerangan ‘perbezaan nyata’ ditunjukkan anaknya itu.

Muhammad Ammar Lutfi Muhammad Yusri, 6, antara satu dalam ribuan komuniti autisme di dunia ini. Ia bukanlah jenis kecacatan luar biasa, apabila statistik menunjukkan seorang daripada setiap 150 kanak-kanak yang lahir mempunyai autisme tipikal. Bilangan kanak-kanak autisme juga dilaporkan meningkat 30 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Namun, Ammar dikira amat bertuah kerana ibu dan ayahnya, Muhammad Yusri Adam, 34, cepat mengenal pasti dia mengidap autisme seawal usia tiga tahun, lantas mengambil jalan bijak, menghantarnya ke kelas khas memperbaiki kekurangan dirinya.
Lantaran kini, kemampuan Ammar juga membanggakan, pada usia sebegitu, dia mampu menguruskan diri dengan baik termasuk ke bilik air dan memakai pakaian tanpa dibantu. Pertuturannya juga semakin difahami.

“Sebelum ini, Ammar mudah marah dan naik angin apabila keinginan diri tidak dipenuhi. Dia tidak bercakap sebaliknya mengeluarkan bunyi seperti em..em..jadi bagaimana kita nak faham? Mulalah dia akan marah.

“Tetapi hari ini, Alhamdulillah, dia semakin ok dan tidak mudah marah lagi. Apabila ingin makan dan minta sesuatu, dia boleh sampaikan dengan baik kepada kami. Kalau ingin ke bilik air, sudah pandai lakukan sendiri dan faham bagaimana untuk membuang najis. Sebelum ini memang payah nak suruh dia duduk atas mangkuk tandas sebab tidak suka dengan ‘proses’ berkenaan. Hari ini segala-galanya lebih mudah untuk Ammar dan saya,” katanya yang nyata begitu sabar melayani si kecil.

Autisme ialah kekurangan yang menjejaskan proses komunikasi dan pembelajaran seseorang kanak-kanak. Walau bagaimanapun, jika dikesan awal, pembabitan keluarga dan kaedah pendidikan sesuai, masalah anak autisme boleh diuruskan dengan baik.

Nuraihan berkata, Ammar kini belajar di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Setia Alam, Klang, selain turut mengikuti kelas terapi pengucapan secara berkala.

Berkongsi kisah, Nuraihan berkata, beliau menetap lama di Jepun mengikut suaminya berkhidmat di sana dan mula mengesan kekurangan anaknya ketika berada di negara terbabit.

“Pada usianya tiga tahun, dia lambat bercakap. Tapi ketika itu kami sangka ia biasa bagi kanak-kanak lelaki.
Percampuran bahasa antara Melayu, Inggeris dan Jepun juga memungkinkan dia keliru, itu fikir saya.

“Tapi yang saya amat perasan, bila bermain sesuatu, dia suka menyusun. Blok mainan atau duit syiling, biasanya budak-budak sebayanya suka membentuknya menjadi objek tertentu atau disepah saja, tetapi dia sebaliknya. Dia akan susun menjadi cantik. Tidak kiralah secara memanjang atau bagaimana bentuknya yang pasti susunan itu tampak amat sempurna untuk kanak-kanak kecil pada usia dua atau tiga tahun. Saya pernah cuba alihkan susunan yang dilakukannya itu, tetapi akan marah teramat sangat.

“Kalau anak lain tidak kisah mainan atau pensel warnanya hilang, Ammar pula akan menunjukkan susunan dalam kotak warna, pensel yang hilang itu tanpa henti dalam emosi marah dan amat serius. Malah jika mainan hilang atau rosak seperti roda kereta tidak berfungsi, ia melihatnya sebagai suatu yang serius. Mungkin orang lain, melihat aksinya itu sebagai sesuatu yang menghiburkan, tetapi tidak bagi kami. Kami sedih serta tertekan dengan perbuatannya itu,” katanya.

Memasuki ‘playschool’ di Jepun dengan keadaan semua kanak-kanak mendengar arahan guru, seperti beratur, bermain baik-baik dengan rakan, Ammar sebaliknya dicop ‘nakal’ bila dia enggan mengikut aturan diberikan.

“Pernah Ammar main sorok-sorok dengan kawannya, tetapi apabila kawannya menyorok dan lari daripada dirinya, dia menangis dan menyangkakan kawannya tidak mahu bermain dengannya. Melihatkan dirinya yang berbeza itulah yang menguatkan semangat saya dan suami untuk mencari jalan menghantarnya ke kelas khas.

“Di Jepun yuran ke sekolah khas sangat mahal. Satu sesi kira-kira RM300. Justeru, kami memutuskan untuk kembali ke ibu kota kerana yuran dikenakan NASOM masih dalam kemampuan kami. Kami amat gembira dengan perubahan serta perkembangan dilalui Ammar,” katanya yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Ammar. Walaupun terpaksa berhenti kerja, beliau reda demi kebaikan permata hatinya itu.

Selain kelas, Ammar memerlukan perhatian penuh ibunya termasuk dibacakan buku cerita atau ‘dilawan’ cakap supaya aspek komunikasinya cepat berkembang. Ammar suka melukis dan gemar menunjukkan lukisan berwarna-warni hasil nukilannya, bertemakan keluarga bahagia.

Bagi Nuraihan, setiap ibu bapa perlu peka dengan perubahan dihadapi anaknya dan jika guru atau orang sekeliling mengatakan anak autisme nakal atau degil, ibu bapa tidak seharusnya cepat melatah.

Kerjasama dengan guru atau berusaha sendiri untuk merujuk anak ke pakar kanak-kanak kerana dengan usaha sedemikian saja dapat mengesan kekurangan di hadapi mereka.

“Autisme adalah kekurangan berpanjangan, justeru, dapatkan bantuan supaya si kecil dapat hidup lebih sempurna dan tidak janggal di mata orang lain. Hakikatnya tanggungjawab membesarkan anak autisme memang amat mencabar serta banyakkan sabar dengan kerenah si kecil.

“Walaupun kawan dan keluarga mungkin cuba menyokong, tetapi mereka tidak dapat memahami kesukaran dalam membesarkan anak autisme. Orang ramai boleh mengkritik ibu bapa saja dan dan segala-gala keperitan itu ditanggung sendiri,” katanya meluahkan rasa dan tidak pernah lupa berdoa ketika bersolat supaya terus diberi kekuatan.

Nasihat beliau, kanak-kanak seperti ini kadangkala garang tidak bertempat. Justeru, ibu perlu memahami dan tidak malu menerangkan orang ramai mengenai anak autisme kerana dengan membuka mulut dan memberitahu orang ramai mengenai keadaan anak, boleh mendidik mereka mengenai autisme.

“Mereka juga sebetulnya memerlukan sokongan. Ibu bapa tidak seharusnya melihat mereka sebagai ‘berbeza’ kerana mereka sebenarnya istimewa. Menyertai persatuan berkaitan autisme juga antara cara terbaik mendekati, memahami atau berkongsi pengalaman dengan ibu bapa yang mempunyai anak berkenaan,” katanya.

INFO


Autisme

Disifatkan sebagai kurang upaya sepanjang hayat yang menghalang perkembangan pembelajaran, komunikasi, bahasa, emosi dan sosial kanak-kanak. Ia biasanya muncul dalam tempoh 30 bulan pertama kehidupan insan.

Autisme berbeza antara kanak-kanak dan dari semasa ke semasa. Simptom yang biasa dialami ialah masalah tidur, makan dan masalah pergi ke tandas, memudaratkan tingkah laku sendiri, suka melakukan sesuatu secara berulang-ulang dan tingkah laku stimulatory. (self-stimulatory behavior).

Penghidap autisme mempunyai pelbagai keupayaan intelek. Selalunya, mereka boleh menunjukkan kebolehan luar biasa dalam kemahiran matematik, mekanikal, muzik, menghafal dan sebagainya.

Statistik menunjukkan seorang dalam setiap 150 kanak-kanak yang lahir mempunyai autisme tipikal. Bilangan kanak-kanak dengan autisme amat mengejutkan bila ia meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun lalu.

Faktor:

Autisme berlaku tanpa mengira sempadan etnik, masyarakat, status sosial ekonomi, latar belakang pendidikan dan gaya hidup. Tiada punca sebenar kenapa ia berlaku.

Empat kali lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding perempuan.

Kenapa masyarakat perlu ambil berat

Autisme berlanjutan sepanjang hayat. Ia mempengaruhi setiap aspek kehidupan manusia, malangnya hingga kini belum ada penawar ditemui.

Satu dalam setiap 150 orang kanak-kanak lahir mempunyai autisme tipikal.

Satu dalam setiap 100 kanak-kanak mempunyai gangguan dalam spektrum autistik.

NASOM

Ditubuhkan 1986 oleh sekumpulan ibu bapa dan profesional. Didaftarkan, 3 Mac 1987, sebagai pertubuhan kebajikan sukarela kebangsaan dan bertujuan menyediakan pendidikan, bantuan, jagaan dan perlindungan bagi anak autisme dan ahli keluarga mereka.

NASOM menubuhkan 14 Program Intervensi Awal dan tiga Program Vokasional bagi orang yang disengajakan dengan autisme di Malaysia.

Mempunyai misi menyokong hak orang autisme dan memberikan peluang mereka belajar dan menjalani kehidupan yang produktif dan memuaskan.

Antara matlamat penubuhannya untuk mengenal pasti dan menggalakkan rawatan, pendidikan, kebajikan dan penerimaan orang autisme; mengawasi dan melindungi orang autisme; memberi bantuan dan nasihat kepada keluarga menghidap autisme dan menjadi sumber berguna dalam kajian penyelidikan dan pembangunan kaedah, terapi, rawatan autisme serta masalah berkaitan.

Thursday 29 September 2011

Pelaksanaan LINUS beri impak positif

Petikan dari Berita Harian (28 September 2011)
Oleh Azran Jaffar

MEMASUKI tahun kedua pelaksanaannya, Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran (KPM) bagi meningkatkan kadar kemahiran membaca dan mengira di kalangan murid tahap satu di sekolah rendah, menampakkan impak yang memberangsangkan.

Berdasarkan dua saringan yang dijalankan iaitu pada Mac dan Jun lalu, murid Tahun 2 melepasi sasaran 95 peratus yang ditetapkan dengan kadar literasi mencatatkan 95 peratus, manakala numerasi berada pada kadar 97 peratus.

Murid Tahun 1 juga menunjukkan prestasi membanggakan dengan mencapai 83 peratus untuk literasi dan 90 peratus untuk numerasi.

LINUS adalah program yang dirangka sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menyediakan asas kukuh kemahiran literasi dan numerasi bagi kanak-kanak di negara ini untuk tempoh tiga tahun pertama pendidikan rendah.

Literasi adalah kebolehan membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah (dengan menggunakan kata hubung dan) serta mengaplikasikan pengetahuan berkenaan dalam pembelajaran serta komunikasi harian.

Numerasi pula adalah apa yang dikatakan sebagai kebolehan melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan harian.

Melalui program ini, setiap murid menjalani proses saringan tiga kali setahun bagi mengenal pasti mereka yang menghadapi masalah membaca, menulis dan asas pengiraan yang kemudian diletakkan di dalam kelas pemulihan khas untuk meningkatkan prestasi mereka sementara yang mempunyai masalah pembelajaran akan mengikuti program Pendidikan Khas.
Untuk itu, kerajaan melatih 15,500 guru LINUS untuk mengajar di kelas pemulihan khas, manakala FasiLINUS (fasilitator yang memberikan sokongan profesional) ditugaskan di semua sekolah untuk memantau, membantu dan memberi sokongan kepada guru LINUS.

Objektif utama pengenalan program LINUS adalah untuk mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah dalam menguasai kemahiran berkenaan pada peringkat awal dan memulihkan mereka sebelum tertinggal lebih jauh berbanding rakan sebaya.

Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) LINUS berhasrat memastikan semua murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi apabila memasuki Tahun 3. Untuk tahun 2010 sasaran KPM adalah pencapaian sebanyak 90 peratus untuk murid Tahun 1 (kohort 1), 95 peratus pada tahun 2011 dan 100 peratus untuk murid-murid kohort 1 ini yang akan memasuki Tahun 3 pada 2012.

Bagi murid kohort 1 ini yang membabitkan kira-kira 450,000 di seluruh negara, mereka menghadapi saringan tiga kali dan pada September 2010, sebanyak 380,440 atau 85 peratus lulus saringan asas literasi manakala 407,094 murid atau 91 peratus lulus saringan asas numerasi.

Proses saringan membabitkan dua bahagian iaitu lisan yang dijalankan secara individu antara guru dan murid manakala ujian bertulis dijalankan secara serentak. Saringan literasi dan numerasi juga dijalankan secara berasingan membabitkan guru Bahasa Malaysia dan Matematik.

Pada tahun 2010, saringan dijalankan untuk semua murid kohort 1 dan tahun ini ia diadakan untuk murid Tahun 1 (kohort 2) dan Tahun 2 (kohort 1).

Tuesday 2 August 2011

Pengisian Data LINUS Saringan 2 dan 5

Seperti mana yang semua guru LINUS sedia maklum, tarikh pelaksanaan Saringan LINUS 2 dan 5 telah pun berakhir. Guru-guru LINUS pula dikehendaki mengisi data LINUS tersebut bermula pada 1 hingga 12 Ogos 2011.

Walaubagaimanapun, berdasarkan pengamatan saya setelah membuka laman sesawang pengisian data tersebut didapati bahawa pengisian data LINUS tidak dapat dibuat masa ini hingga diberitahu kelak.

Tuan/puan boleh rujuk ke capaian laman sesawang pengisian data tersebut di www.moe.gov.my/nkra.

Monday 1 August 2011

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan menjelma lagi. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh sekalian umat Islam kerana di dalamnya terdapat seribu rahmat. Bulan penuh pengampunan dan dilipatgandakan pahala bagi setiap amalan yang dilakukan.

Pada kesempatan ini, pihak CikguFais.net mengucapkan selamat berpuasa kepada pengunjung blog ini. Moga Ramadhan kali ini menjadi inspirasi kepada kita untuk terus mendidik anak murid kita supaya menjadi insan yang berjaya dan cemerlang. Moga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada sebelumnya.

Selamat berpuasa!!

Tuesday 26 July 2011

Saringan 2 dan 5 bertulis

Saringan 2 dan 5 bertulis perlu diadakan oleh semua guru LINUS bermula 25 hingga 29 Julai 2011.image

image

Saturday 23 July 2011

Karnival Bola Sepak Bawah 10 Tahun

Semua dijemput hadir untuk menyaksikan Karnival Bola Sepak 9 sebelah bagi kategori bawah 10 tahun. Pertandingan akan berlangsung pada 23 Julai 2011, hari Sabtu, bermula pada jam 7.30 pagi.

Tujuan diadakan karnival ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat muda baharu sebagai pelapis kepada pasukan bola sepak sekolah masing-masing.

Lapan pasukan akan bersaing merebut hadiah yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Antara sekolah yang terlibat adalah :
1. Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(1);
2. Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(2);
3. Sekolah Kebangsaan Taman Alam Megah;
4. Sekolah Kebangsaan Alam Megah 2;
5. Sekolah Kebangsaan Alam Megah 3;
6. Sekolah Kebangsaan Hicom;
7. Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Hicom; dan
8. Sekolah Kebangsaan Raja Muda.

Datanglah beramai-ramai untuk menyokong pasukan sekolah anda.

Tuesday 19 July 2011

Beri Semangat Anak Disleksia

Petikan dari Harian Metro (18 Julai 2011)

Oleh : Shuhada Mansor

Ibu bapa tidak seharusnya rasa malu ataupun sedih sekiranya dianugerahkan anak disleksia kerana disleksia bukannya penyakit tetapi kondisi di mana kanak-kanak mengalami masalah pembelajaran.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia Sariah Amirin, berkata, ibu bapa juga tidak patut menyalahkan anak sekiranya mereka tidak memahami ataupun bertindak lambat apabila mendapat arahan tetapi harus sentiasa mendorong dan memberi semangat demi kemajuan anak mereka.

“Mereka mungkin kurang mahir dalam akademik tetapi sebenarnya mereka cekap dalam bidang kemahiran jika diberi pendedahan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada seminar bertajuk ‘Petua untuk Ibu Bapa membantu Kanak-kanak Disleksia’ anjuran bersama Persatuan Disleksia Malaysia dan Universiti Monash Malaysia, yang dihadiri lebih 200 orang itu, di sini, semalam.

Menurut Sariah seminar yang diadakan dilihat mampu membuka mata ibu bapa dalam mendidik anak disleksia melalui pendekatan dan cara yang betul.

Katanya, kanak-kanak disleksia memerlukan bimbingan dan pendekatan yang berbeza kerana pemikiran mereka berlainan daripada kanak-kanak normal yang sebaya.

Oleh itu, selain menganjurkan seminar di seluruh negara, persatuan turut menawarkan program bimbingan pembelajaran tiga bulan kepada kanak-kanak disleksia melalui pendekatan efektif serta latihan kerja rumah bersesuaian dikendalikan pakar sebagai usaha membantu ibu bapa mendidik anak disleksia.

Katanya, dianggarkan seramai 500,000 hingga 600,000 orang mengalami disleksia direkodkan di negara ini.

Sehingga kini, beliau berkata, hanya 800 ahli berdaftar dengan persatuan dan beliau menyarankan ibu bapa yang mempunyai anak disleksia dapat mendaftar sebagai ahli kerana pihaknya bersedia membantu sekiranya ahli memerlukan bimbingan dalam membantu mendidik anak disleksia.

Sementara itu, Ahmad Nazarudian, 43, bapa kepada Zaramsyar, 10, kanak-kanak menghidap dislexia berkata dia dapat melihat peningkatan prestasi anaknya dengan jelas terutama dari segi membuat pengiraan matematik dan karangan.

Katanya, pencapaian itu dibuktikan menerusi prestasi yang baik ditunjukkan dalam peperiksaan dengan mendapat tempat ke sembilan berbanding tempat ke 25 sebelum mengikuti kelas terbabit.

“Anak saya mengikuti kelas ini sejak dari dia berada dalam darjah dua hingga ke hari ini dan saya percaya ia benar-benar membantu meningkatkan kemampuan dan tahap pemikiran anak saya dengan cepat dan berkesan.

“Saya yakin, selain kelas bimbingan, seminar seperti ini perlu diadakan lebih kerap kerana ia berguna bagi membantu ibu bapa menangani masalah ketika mendidik dan mengajar anak yang mengalami disleksia,” katanya.

Sunday 10 July 2011

Saringan 2 dan Saringan 5 LINUS 2011

Salam, untuk makluman semua Saringan 2 dan 5 LINUS lisan telah pun bermula. Saringan ini dijalankan untuk menguji murid-murid Tahun 1 dan 2 yang tidak melepasi saringan 1 dan 4 baru-baru ini. Selamat menjalankan tugas dan pastikan diselesaikan sebelum tarikhnya.