page contents

CikguMurni dot com

Saturday 27 November 2010

Cuti Sekolah Datang Lagi

Cuti akhir persekolahan bagi tahun 2010 telah pun bermula. Bagi para murid dan pelajar pasti meraikannya dengan penuh kegembiraan. Masing-masing sudah terbayang apa yang hendak dilakukan semasa cuti ini nanti. Tidak kurang juga ada yang menuntut janji para ibu bapa untuk membawa mereka untuk pergi bercuti. Itulah hakikatnya apabila tiba musim cuti persekolahan.



Bagi para guru pula, cuti ini juga turut dinantikan oleh kalangan mereka bagi merehatkan bebanan yang ditanggung sepanjang tahun bagi memastikan semua murid mencapai kejayaan. Namun, tidak semua guru dapat menikmati cuti ini sepenuhnya. Ada yang perlu pergi berkursus dan juga menyiapkan tugasan yang belum sempat diselesaikan lagi. Guru-guru juga perlu menyediakan persediaan yang secukupnya untuk memastikan sesi pembelajaran pada tahun hadapan dapat berjalan dengan lancar. Guru-guru juga perlu merencanakan aktiviti yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Apa pun, sepanjang musim cuti persekolahan ini para ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka dalam keadaan terjaga dan selamat. Banyak yang telah kita dengar malapetaka dan bencana yang menimpa di kalangan murid-murid sekolah akibat alpa bermain. Musim cuti sekolah ini juga perlu diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Bagi mereka yang berduit, bolehlah menghantar anak-anak ke mana-mana program seperti 'Smat Camp' yang saya percaya banyak dianjurkan pada musim cuti persekolahan ini. Bagi mereka yang tidak berkemampuan pula tiada alasan untuk membiarkan anak mereka bermain ke sana sini seperti di pusat-pusat hiburan yang terkenal bagi murid-murid sekolah iaitu di 'cyber cafe' untuk bermain 'game' dari pagi sampai ke petang. Anak-anak boleh dididik supaya membantu ibu bapa melaksanakan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah, membasuh pinggan mangkuk selepas makan dan sebagainya. Anak-anak perlu dididik supaya lebih berdikari dan tidak dimanja-manjakan.

Semoga dengan rehat pada cuti persekolahan ini dapat menanamkan azam para guru dan murid untuk lebih tekun bekerja dan belajar supaya boleh melonjakkan prestasi sekolah masing-masing pada tahun hadapan. Dimaklumkan juga bahawa murid-murid Tahun 1 pada tahun hadapan akan mengikuti pembelajaran berdasarkan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan pelaksanaan KBSR seperti sebelum ini.

Tuesday 16 November 2010

Majlis Hi-Tea SK Seksyen 27(1)

Alhamdulillah, Majlis Hi-Tea anjuran BAKES khusus untuk guru-guru dan kakitangan SK Seksyen 27(1) selamat dijalankan. Majlis ini berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam.

Hampir semua guru dan kakitangan hadir ke majlis ini. Majlis berjalan dengan sederhana tetapi meriah. Ia diserikan dengan hadiah cabutan bertuah. Seramai 18 orang hadirin bertuah memiliki hadiah yang disediakan oleh pihak BAKES.