page contents

CikguMurni dot com

Tuesday, 17 January 2012

Bimbingan Khas Murid Lemah Tahun 6

Bermula pada hari ini hingga ke hujung bulan Januari, saya akan mengajar 6 orang murid lemah Tahun 6 sebagai persediaan awal mereka untuk menghadapi UPSR pada tahun ini.

Pada awal kelas, saya memulakan sesi perkenalan sesama mereka atau pun dipanggil sebagai aktiviti 'Ice Braking'. Semasa aktiviti ini, masing-masing akan memperkenalkan diri masing-masing secara lebih mendalam supaya rakan-rakan dapat mengetahui apa yang tidak diketahui oleh mereka sebelum ini. Mungkin mereka belajar di dalam satu kelas selama 6 tahun, namun masih lagi tidak mengetahui latar belakang keluarga rakan mereka.

Namun, semasa aktiviti ini dijalankan, saya agak musykil apabila ada di antara mereka yang tidak pandai menyebut jumlah adik-beradik mereka. Malah, pekerjaan ayah dan ibu sendiri pun tidak diketahuinya. Lantas di dalam hati saya berbisik, "Patutlah murid ni lemah dalam pelajaran, pekerjaan ayah dan ibu sendiri pun tidak tahu". Dengan sekilat pantas juga saya terus berbisik, "Isy...isy...tak patut mengata orang, sebab tu tujuan aku untuk memulihkan mereka sekadar yang termampu dalam masa yang singkat ni".

Berdasarkan aktiviti yang dijalankan ini, dapatlah saya simpulkan bahawa betapa pendidikan untuk anak-anak tidak cukup hanya di sekolah sahaja. Tugas guru-guru hanyalah menyampaikan ilmu dan mendidik supaya murid dapat mengamalkan ilmu tersebut. Namun, segala bentuk tingkah-laku dan belaian kasih sayang perlu hadir dari ibu bapa murid itu sendiri. Pendidikan formal di sekolah hanyalah sekitar 6 jam sehari. Selebihnya adalah di bawah pemerhatian ibu bapa. Sebab itu, pendidikan anak-anak ini tidak boleh dibebankan di atas bahu guru sahaja.

Berbalik kepada aktiviti murid tadi, saya pun terus memberikan dorongan dan kata semangat kepada mereka supaya lebih rajin berusaha untuk mencapai kejayaan. Tidak manusia yang bodoh yang lahir di dunia ini, yang ada hanyalah manusia yang malas untuk berusaha. Saya memberikan pelbagai analogi supaya murid lebih faham tentang maksud yang saya ingin sampaikan.

Dalam masa yang sama, puas juga saya memikirkan apakah langkah dan strategi yang patut saya gunakan untuk memulihkan murid-murid ini. Daripada apa yang disampaikan oleh guru Tahun 6, mereka ini boleh membaca, cuma tidak memahami apa yang mereka baca. Saya telah menguji tahap pembacaan mereka tadi, dan kelihatan mereka boleh membaca walaupun tidak selancar mereka yang petah membaca. Strategi apa yang patut saya gunakan? Apakah teknik-teknik yang perlu saya aplikasikan? Harap ada yang sudi memberikan cadangan dan berkongsi idea.

Semoga berjumpa lagi.

Monday, 16 January 2012

Perutusan Khas Menteri Pelajaran Malaysia 2012

[caption id="attachment_672" align="aligncenter" width="229" caption="YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN"][/caption]
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERUTUSAN  KHAS
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012
PADA 10 JANUARI 2012; PUKUL 9.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN PLENARI,
PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Sila muat turun teks ucapan di sini.

Friday, 13 January 2012

Kejohanan Merentas Desa 2012

Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(1), Shah Alam akan menganjurkan Kejohanan Merentas Desa 2012 pada 13 Januari 2012 (Jumaat). Penyertaan melibatkan murid Tahun 3 hingga Tahun 6.

Murid akan bersaing mengikut rumah sukan masing-masing.

Thursday, 12 January 2012

Pembelajaran ikut peringkat umur

Dipetik dari Harian Metro (11 Januari 2012)

Oleh Siti Zarinah Sahib

PAKAR perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat lebih separuh daripada perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku pada usia sifar hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia lapan tahun.

Kajian yang dijalankan pakar neurologi mendapati 80 hingga 85 peratus perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia kanak-kanak.

[caption id="" align="aligncenter" width="500" caption=".Norzuraini bersama dua anaknya, Syafiqah Amirah (kiri) dan Sofea Azrina (kanan) yang memasuki tadika pada usia empat dan tiga tahun"][/caption]

Jika dulu rata-rata ibu bapa menghantar anak-anak ke tadika pada usia enam tahun tetapi kini pada usia lima tahun, anak-anak sudah didedahkan dengan pendidikan awal kanak-kanak. Malah senario hari ini semakin berubah apabila ramai ibu bapa mengambil keputusan menghantar anak ke tadika seawal usia tiga dan empat tahun.

Kajian di California, Amerika Syarikat mengenai pendidikan awal kanak-kanak pada 2002 oleh Sue Dockett dan Bob Perry mendapati kanak-kanak bersedia ke sekolah lebih awal tetapi tidak bersedia untuk belajar lebih awal. Sebanyak 60 peratus pula bersetuju bahawa memasuki sekolah pada usia lima tahun ke bawah akan mendatangkan kejayaan kepada kanak-kanak itu.

Persoalan mengenai masa sesuai menghantar anak ke tadika iaitu pada usia empat atau lima tahun sebenarnya terpulang kepada ibu bapa itu sendiri. Pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum menghantar mereka ke tadika.

Bagi ibu kepada tiga anak, Norzuraini Shibi, keputusan menghantar anak pertama, Syafiqah Amirah Nazri pada usia empat tahun ke tadika kerana ingin memberi pendedahan kepada anak sulung supaya lebih berdikari dan memberi tindak balas positif kepada persekitaran sekolah.

“Pada mulanya penerimaan Syafiqah memang sukar namun selepas dua bulan, dia mula seronok dengan persekitaran sekolah serta mula menunjukkan minat belajar,” katanya.

Malah pada usia lima tahun, dia sudah boleh membaca dengan lancar dan ini memudahkan Shafiqah apabila memasuki darjah satu pada tahun ini apabila dia langsung tidak menangis malah boleh berdikari tanpa kehadiran ibu di sisi.

Untuk anak kedua, Norzuraini bertindak lebih awal dengan menghantar Sofea Azrina Nazri seawal usia tiga tahun ke tadika. Ini kerana tidak seperti kakaknya yang lebih aktif dan banyak cakap, Sofea agak pendiam dan kurang keyakinan diri.

“Saya agak takut mengenangkan diri Sofea lalu berbincang dengan suami untuk menghantar Sofea ke sekolah lebih awal. Saya tidak mengharapkan yang dia boleh menguasai sesuatu pada usia sebegini sebaliknya supaya dia lebih bersosial, berbual dengan rakan dan memahami arahan guru. Selepas dua bulan saya dapati perubahan ketara pada diri Sofea kerana dia semakin berani dan mempunyai keyakinan diri,” katanya.

Menurut Norzuraini, setiap kanak-kanak mempunyai potensi diri yang perlu digilap dan dibentuk dengan baik. Dengan menghantar anak ke tadika seawal usia tiga dan empat tahun, dia dapat dilatih dan diajar oleh guru berpe?ngalaman.
Daripada duduk di rumah menonton televisyen atau bermain permainan video, lebih baik anak dihantar ke tadika supaya dia dapat belajar secara perlahan-lahan.

“Sebagai ibu bapa, usah menaruh harapan terlalu tinggi yang anak akan membaca pada usia yang awal atau memahami proses tambah atau tolak. Apa yang penting mereka mampu belajar asas membaca, mengira atau menulis serta bermain bersama rakan-rakan yang dapat membantu merangsang otak anak dan melatih koordinasi mata dan tangan,” ujarnya yang turut menghantar anak ketiga, Ahmad Harees Syafiq yang kini berusia tiga tahun di sekolah tadika yang sama dengan Sofea.

Walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk pendidikan ketiga-tiga anaknya, namun demi pelajaran anak-anak dia tidak kisah kerana Norzuraini yakin pendidikan awal mampu membentuk ketiga-tiga anaknya menjadi seorang yang lebih mencintai ilmu dan menyukai suasana persekitaran persekolahan.

Pengetua Smart Reader Kids cawangan Bandar Baru Bangi, Datin Nor Hidayawati Jaafar, berpendapat pendedahan seawal usia tiga dan empat tahun untuk pendidikan prasekolah anak-anak dapat membentuk diri mereka menjadi lebih bertanggungjawab serta dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekolahan sebenar apabila mencecah usia tujuh tahun.

Dengan kata lain, kanak-kanak yang berada di tadika selama tiga atau empat tahun menjadi lebih berdikari, tidak takut serta mudah menerima pelajaran di sekolah.

[caption id="" align="aligncenter" width="300" caption="RANGSANG MINDA...persekitaran yang selesa memberikan keseronokan kepada kanak-kanak belajar"][/caption]

“Ini bermakna apabila kanak-kanak ini memasuki darjah satu mereka tidak takut kepada persekitaran sekolah, tidak mengalami kejutan budaya apabila diberi kerja sekolah yang banyak serta berhadapan dengan guru yang tegas. Ini kerana semua ini sudah dialami sepanjang berada di tadika,” katanya.

Menurut Nor Hidayawati, ibu bapa bekerja dan tiada masa memastikan pembelajaran anak-anak di rumah menjadikan tugas guru tadika menjadi semakin berat. Ditambah pula apabila memasuki sekolah rendah, persaingan sengit antara pelajar serta pelajar yang bijak dan berkebolehan menjadikan ada antara ibu bapa tertekan dalam memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Apabila memasuki darjah satu, guru bukan setakat beranggapan pelajar sudah boleh membaca dengan lancar tetapi memahami apa yang dibaca serta mempunyai pemikiran kritis bagi setiap apa yang difahaminya. Bagi kanak-kanak yang masih tidak boleh membaca atau belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah, sudah tentu mereka akan ketinggalan,” katanya.

Walaupun Smart Reader Kids menyediakan kelas untuk kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun namun apa yang diajar bersesuaian dengan usia mereka. Misalnya pada usia tiga dan empat tahun, mereka bukan saja diberi penekanan daripada sudut sosial tetapi teknik memegang pensel dan mengenal huruf. Malah bagi pelajar yang mampu mencapai tahap diberikan, mereka akan terus meningkat ke tahap seterusnya. Ini bagi memastikan mereka tidak bosan.

“Kanak-kanak pada usia lima dan enam tahun pula didedahkan pada persekitaran sebenar sama seperti sekolah rendah. Mereka diberi pemahaman yang jelas sekolah adalah tempat belajar dan bukannya bermain. Sebab itu dalam masa tiga jam di sekolah mereka diberi latihan serta tunjuk ajar menggunakan papan putih serta buku latihan bagi membiasakan diri mereka dengan buku teks dan latihan sebenar ketika darjah satu.

“Selain itu Smart Reader Kids juga mewujudkan peperiksaan pada pertengahan dan akhir tahun bagi memberikan suasana sebenar di sekolah,” katanya.

Justeru, Nor Hidayawati menasihatkan ibu bapa supaya memilih tadika yang menyediakan sistem pembelajaran sistematik dengan menyediakan semua pelajaran asas termasuk pendidikan Islam serta Fardu Ain.

Pastikan waktu belajar tidak terlalu panjang, seeloknya tiga jam untuk pembelajaran saja kerana kanak-kanak mudah bosan dan akan mula bermain apabila waktu belajar terlalu panjang.

“Sebaiknya cari tadika berbeza dengan tempat penjagaan mereka supaya mereka tidak bosan kerana terlalu lama berada di sekolah. Paling penting cikgu yang disediakan mampu mendidik pelajar untuk memahami apa yang diajar,” katanya.

Pendapat yang sama turut diberikan pengurus Sinar Bistari Ceria, Asiah Wahid ,yang bersetuju sekiranya anak-anak dihantar ke tadika pada usia yang awal. Ini kerana pada masa sekarang kanak-kanak semakin bijak dan mula terdedah dengan teknologi yang menyebabkan perkembangan minda mereka berlaku dengan cepat.

“Pada usia empat tahun naluri ingin tahu mereka terlalu tinggi. Namun ibu bapa jangan sesekali memaksa tetapi memberi mereka ruang untuk belajar. Apabila mereka meningkat usia enam tahun, barulah mereka perlu tahu dan memahami apa yang diajar,” katanya.

Dia juga menolak dakwaan kanak-kanak akan mudah bosan apabila dihantar terlalu awal ke sekolah. Sebenarnya ini tidak berlaku kerana setiap tadika menyediakan sistem pembelajaran berbeza mengikut peringkat umur. Jadi tidak timbul perasaan bosan malah mereka akan lebih matang dan mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk belajar dengan bersungguh-sungguh apabila di sekolah rendah.

Tuntutan yang tinggi serta persaingan sengit di sekolah rendah menyebabkan ibu bapa semakin terbuka untuk memberi pendidikan awal kepada anak-anak. Ini kerana kekangan masa dengan ibu bapa berkerjaya menyebabkan tugas mendidik anak-anak banyak diberikan kepada guru tadika.

“Namun dalam pencarian mendapatkan pendidikan sempurna, semuanya bergantung kepada kemampuan ibu bapa. Bagi ibu bapa berpendapatan agak baik, tidak salah mencarikan sekolah berkualiti serta memenuhi kriteria dikehendaki mereka sebaliknya bagi ibu bapa kurang mampu, masih banyak sekolah yang menyediakan pendidikan yang sama. Terpulang kepada kehendak serta keperluan masing-masing,” katanya.

Sunday, 1 January 2012

Selamat Tahun Baharu 2012

CikguFais.net mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2012 kepada semua warga pendidik terutamanya. Moga dengan kehadiran tahun baharu ini menjadikan keazaman kepada kita untuk lebih tekun mendidik anak murid kita.

Bahan Bantu Belajar

Bahan ini merupakan bahan yang dibekalkan oleh pihak Unit LINUS PPD Petaling Perdana, Selangor Darul Ehsan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas inisiatif Unit LINUS ini menyediakan bahan-bahan ini untuk sekolah rendah di PPD Petaling Perdana.

Bahan ini merupakan bahan bercetak seumpama cetakan kain rentang dan sesuai digunakan untuk murid LINUS dan Pemulihan Khas.