page contents

CikguMurni dot com

Tuesday, 21 September 2010

Guru Sebagai Cermin Keperibadian Murid

Dipetik dari Harian Metro

DUNIA pendidikan sentiasa menjadi tumpuan semua pihak kerana tunjang utama dalam pemerkasaan pembangunan negara dijana melalui keberkesanan sistem pendidikan. Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi pemangkin kepada usaha membina generasi modal insan bertaraf dunia.

Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020.

Peranan dan cabaran golongan pendidik pada masa mutakhir ini semakin ‘diasak’ dengan pelbagai isu yang diberikan penekanan dan perhatian wajar. Antaranya ialah gejala kes pelanggaran disiplin seperti ponteng sekolah, kejadian buli khususnya di asrama, biadab terhadap guru, perbuatan vandalisme yang menjijikkan mata memandang, memeras ugut pelajar junior, bergaduh dalam kawasan sekolah dan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Semua isu ini perlu ditangani secara berkesan oleh sekolah kerana jika dibiarkan berterusan akan menjadi wabak yang membarah dalam kalangan anak muda kita. Dengan demikian, peranan dan tanggungjawab semua guru mesti menjurus kepada pembinaan sahsiah pelajar yang murni dan bukan setakat menjadi penyampai ilmu pengetahuan saja. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengatakan, ‘guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang dan budaya yang diterima olehnya.’ (Petikan ucapan beliau pada Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Ipoh pada 16 Mei 2000 ). Jadi, di sini jelas menunjukkan kepada kita memang menjadi tanggungjawab teras seseorang guru itu membentuk jati diri anak muridnya dengan keluhuran budi pekerti yang tinggi dan terpuji.






Sebenarnya, teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan memberi pendidikan akhlak murni. Jadi, dalam apa jua mata pelajaran yang diajar oleh seseorang guru, penerapan nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan ‘nilai merentas kurikulum’. Malah, seseorang guru sepatutnya memahami dan menghayati sedalam-dalamnya tafsiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini. FPK antara lain menyatakan, ‘Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Jika diteliti secara mendalam inti pati FPK itu, memang sudah lengkap dan tepat dalam usaha membina generasi warganegara yang seimbang dan mampu menjana keperkasaan tamadun bangsa serta negara.

Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman yang juga Presiden Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) menggariskan beberapa peranan yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang guru dalam merealisasikan FPK itu. Antaranya ialah guru bertindak sebagai pendakwah. Ini bermaksud guru bukan saja memainkan peranan sebagai pengajar, tetapi seharusnya mendidik anak didiknya dengan nilai akhlak mulia. Guru juga pendidik yang mendidik anak murid secara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Menurut beliau lagi, seseorang guru adalah pemimpin. Ertinya memimpin dan memandu pelajar menjalankan sesuatu tugasan dengan betul dan berkesan. Seterusnya guru adalah pekerja yang mematuhi segala etika profesion ke arah membina anak muridnya menepati acuan sebagaimana yang termaktub dalam FPK. Guru juga boleh dianggap sebagai seorang pengusaha. Dengan itu untuk memenuhi ciri pengusaha yang dinamik, guru perlu mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir secara inovatif dan kreatif. Contohnya, bagaimana seseorang guru itu berupaya menarik perhatian pelajar agar sentiasa menerapkan disiplin diri yang unggul dan mematuhi ajaran agama. Selain itu, seseorang guru juga mesti bersikap profesional dalam bekerja dengan menunjuk contoh yang baik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji. Ini penting kerana guru akan menjadi perhatian pelajar dan akan diikuti. Jangan pula seperti ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul.’ Selain itu, menurut Dr Abdullah Sudin, seseorang guru mesti menjadi seorang pengikut yang baik. Ini bermaksud guru itu seharusnya taat dan mematuhi arahan ketua dalam melaksanakan sebarang tugasan dengan bersedia berkorban masa dan tenaga semaksimum boleh. Seterusnya guru juga berperanan sebagai seorang pejuang. Apakah maksud pejuang di sini? Tentulah perjuangan dalam menyempurnakan amanah negara dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa dengan semangat waja dan tanpa putus asa. Seseorang pejuang sudah tentu tidak boleh berputus asa apabila berhadapan dengan kesulitan. Begitulah dengan guru. Apapun cabaran dan kekangannya, tugas dan amanah mesti diteruskan dengan efektif. Pejuang juga mesti ikhlas dalam perjuangannya. Demikianlah juga dengan guru, mereka seharusnya ikhlas dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa. Kata Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, ‘ciri guru yang cemerlang ialah ikhlas mengajar ilmunya, memiliki tekad yang kuat untuk memberi manfaat yang terbaik untuk anak muridnya dan berusaha kuat menghantarkan mereka pada ketinggian darjat orang yang berilmu.’ Al Imam Al Ghazali pula ada mengatakan: ‘Guru perlu menanamkan niat mereka mengajar demi menyelamatkan anak muridnya daripada kesengsaraan di akhirat kelak.’ Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar dan insaf bahawa di bahu mereka terletaknya amanah Allah dan harapan negara dalam membina generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia serta bersahsiah ‘towering personality.’ Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan oleh Beecher, ‘kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya.’ Demikian juga guru seharusnya menghayati kata-kata daripada Mann Horace ini, ‘seseorang guru yang mengajar tanpa cuba menimbulkan dan menghidupkan keinginan serta semangat belajar dalam kalangan muridnya seperti orang yang menempa besi yang dingin.’ Selamat mendidik anak bangsa.

Penulis seorang guru

Sunday, 19 September 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan UPSR 2010


Saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan UPSR 2010 kepada semua calon UPSR 2010 seluruh Malaysia khususnya murid-murid saya di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(1), Shah Alam. Semoga kalian beroleh kejayaan. Usaha, doa dan tawakal.

Peperiksaan UPSR ini akan berlangsung bermula pada 21 sehingga 23 September 2010.

Kenali Disleksia

Apa itu Disleksia?

Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang yang menghidap disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan penghidap yang lain.

Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi penghidap disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas. Kanak-kanak ini akan diberikan bimbingan dengan betul untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan ibu bapa apabila dewasa.

Selain itu terdapat juga beberapa perkataan lain yang berkaitan dengan disleksia, antaranya ialah:

* Dyscalculia (Diskalkulia) - bermasalah dalam pengiraan ataupun matematik;
* Dysgraphia (Disgrafia) - bermasalah dalam bahasa; dan
* Dyspraxia (Dispraksia) - bermasalah dalam koordinasi motor-mata-tangan.



Ciri-ciri penghidap Disleksia

1. Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
2. Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
3. Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
4. Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'p' dan 'p' dianggap 'q'.
5. Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
6. Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
7. Sering berlaku dalam kalangan lelaki.
8. Kerap berlaku dalam kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
9. Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.

Punca-Punca Disleksia

Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa dalam kandungan ataupun daripada kemalangan.

Faktor keturunan juga dikatakan sebagai salah satu punca disleksia. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.

Masalah Kanak-Kanak yang Menghadapi Disleksia

Masalah utama yang dihadapi kanak-kanak disleksia kebanyakanya adalah dalam proses pembelajaran. Permasalahan ini boleh dikelaskan kepada;

Mengeja
Kelemahan mengeja akan menyebabkan kebolehan untuk menyampaikan pengetahuan yang diperolehi adalah terhad. Untuk tempoh jangka masa yang panjang kelemahan dalam proses mengeja akan memberi kesan terhadap kelemahan membaca. Timbulnya masalah ini adalah berpunca daripada masalah-masalah awalan seperti terdapatnya kekeliruan dalam mengenal pasti huruf-huruf seperti;
m – w y –g – j u – n m – n
c – e p – q h – n b – d

Terdapat juga kekeliruan dalam membunyikan huruf seperti
t – h f – v

Membaca
Kesukaran ini menghadkan kebolehan kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat daripada rujukan-rujukan yang berkaitan. Secara langsung ianya akan membuat kanak-kanak merasa rendah diri dan tidak berkeyakinan. Mereka cenderung menterbalikkan perkataan seperti:

Batu – tuba
Gula – lagu


Selain itu mereka juga melakukan pembalikkan dalam ayat. Contohnya seperti berikut:

pada masa yang sama – dapa masa yang masa

Kekeliruan perkataan antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Contohnya seperti berikut:

Jam – jem
cat – cat


Menulis
Kanak-kanak ini juga mengalami kesukaran untuk memindahkan maklumat ke atas kertas. Mereka juga mengalami kesukaran untuk memegang pensel dan tidak dapat menulis mengikut garisan yang disediakan. Kanak-kanak ini juga cenderung menulis perkataan yang pelik-pelik.



Bercakap dan mendengar
Terdapat juga dalam kalangan mereka yang mengalami kesukaran untuk bertutur. Mereka juga kelihatan seperti tidak mendengar atau mempedulikan. Hal ini berlaku disebabkan kelambatan dalam proses maklumat yang diperolehi. Mereka juga tidak melakukan atau menyusun sesuatu mengikut susunan.

Nombor
Kanak-kanak ini juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran yang berkaitan dengan matematik mental. Terdapat kekeliruan terhadap tanda dan simbol dan suka menterbalikkan nombor yang sama. Contohnya seperti berikut :
3 – 5 – 8

9 – 6

Masalah fizikal, pengurusan diri dan sosial
- Pakaian sentiasa tidak kemas tetapi tidak kotor dan pandai membutangkan baju, kidal dan pandai mengikat tali kasut
- Kelihatan berminat dalam pelajaran tetapi dilabel pemalas dan kelihatan bodoh
- Skop penglihatan yang terhad di mana keliru antara depan, belakang, kiri, kanan,, atas, bawah serta pengamatan yang lemah.

Rawatan Kanak-Kanak Disleksia

Berikut adalah beberapa cadangan untuk rawatan kanak-kanak disleksia. Apa pun ia bergantung kepada kesesuaian keadaan kanak-kanak.

1. Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal.
2. Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
3. Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi.
4. Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
5. Membacakan cerita untuk anak-anak dan sentiasa mendampingi mereka.
6. Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.
7. Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap perihatin dalam mengekalkan suasana harmoni.
8. Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik.
9. Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai.

Disunting dari:
1. http://ppdlms.edu.my/pk/?p=1179
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Disleksia