page contents

CikguMurni dot com

Tuesday, 21 December 2010

Pesta Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur

[caption id="attachment_503" align="aligncenter" width="300" caption="Pesta Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur"][/caption]

Sesiapa yang berpeluang dan berkesempatan berkunjunglah ke Pesta Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur yang diadakan pada 22 hingga 26 Disember 2010 di PWTC. Berikut adalah butir mengenai penganjuran:

Tarikh : 22-26 Disember 2010
Masa :10:00am - 6:00pm
Tempat : Tun Razak Hall 3 , Putra World Trade Center (PWTC)

Maklumat lanjut klik http://www.kualalumpurchildrenbookfair.com/

Saturday, 27 November 2010

Cuti Sekolah Datang Lagi

Cuti akhir persekolahan bagi tahun 2010 telah pun bermula. Bagi para murid dan pelajar pasti meraikannya dengan penuh kegembiraan. Masing-masing sudah terbayang apa yang hendak dilakukan semasa cuti ini nanti. Tidak kurang juga ada yang menuntut janji para ibu bapa untuk membawa mereka untuk pergi bercuti. Itulah hakikatnya apabila tiba musim cuti persekolahan.



Bagi para guru pula, cuti ini juga turut dinantikan oleh kalangan mereka bagi merehatkan bebanan yang ditanggung sepanjang tahun bagi memastikan semua murid mencapai kejayaan. Namun, tidak semua guru dapat menikmati cuti ini sepenuhnya. Ada yang perlu pergi berkursus dan juga menyiapkan tugasan yang belum sempat diselesaikan lagi. Guru-guru juga perlu menyediakan persediaan yang secukupnya untuk memastikan sesi pembelajaran pada tahun hadapan dapat berjalan dengan lancar. Guru-guru juga perlu merencanakan aktiviti yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Apa pun, sepanjang musim cuti persekolahan ini para ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka dalam keadaan terjaga dan selamat. Banyak yang telah kita dengar malapetaka dan bencana yang menimpa di kalangan murid-murid sekolah akibat alpa bermain. Musim cuti sekolah ini juga perlu diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Bagi mereka yang berduit, bolehlah menghantar anak-anak ke mana-mana program seperti 'Smat Camp' yang saya percaya banyak dianjurkan pada musim cuti persekolahan ini. Bagi mereka yang tidak berkemampuan pula tiada alasan untuk membiarkan anak mereka bermain ke sana sini seperti di pusat-pusat hiburan yang terkenal bagi murid-murid sekolah iaitu di 'cyber cafe' untuk bermain 'game' dari pagi sampai ke petang. Anak-anak boleh dididik supaya membantu ibu bapa melaksanakan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah, membasuh pinggan mangkuk selepas makan dan sebagainya. Anak-anak perlu dididik supaya lebih berdikari dan tidak dimanja-manjakan.

Semoga dengan rehat pada cuti persekolahan ini dapat menanamkan azam para guru dan murid untuk lebih tekun bekerja dan belajar supaya boleh melonjakkan prestasi sekolah masing-masing pada tahun hadapan. Dimaklumkan juga bahawa murid-murid Tahun 1 pada tahun hadapan akan mengikuti pembelajaran berdasarkan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan pelaksanaan KBSR seperti sebelum ini.

Tuesday, 16 November 2010

Majlis Hi-Tea SK Seksyen 27(1)

Alhamdulillah, Majlis Hi-Tea anjuran BAKES khusus untuk guru-guru dan kakitangan SK Seksyen 27(1) selamat dijalankan. Majlis ini berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam.

Hampir semua guru dan kakitangan hadir ke majlis ini. Majlis berjalan dengan sederhana tetapi meriah. Ia diserikan dengan hadiah cabutan bertuah. Seramai 18 orang hadirin bertuah memiliki hadiah yang disediakan oleh pihak BAKES.

Saturday, 30 October 2010

Data LINUS Saringan 3

Pihak PPD Petaling Perdana telah memanggil penyelaras LINUS untuk mengisi dan menyerahkan salinan pengisian data Saringan 3. Tempat berlangsungnya pengisian data ini adalah di Makmal Komputer SK Seksyen 19, Shah Alam.

Tujuannya adalah bagi memastikan semua sekolah daerah Petaling Perdana dapat mengisi data Saringan 3 secara dalam talian dengan jayanya. Ini bagi mengelakkan ada mana-mana sekolah yang gagal untuk mengisi data ini sebelum tamat tarikh tutup pengisian.

Saya yang sudah mengisi data Saringan 3 hanya menyemak data yang telah diisi supaya tidak ada kesilapan. Selain itu, saya turut membantu rakan-rakan guru yang lain untuk mengisi data sekolah mereka. Rata-rata mereka sudah pun mengisi data awal-awal lagi. Cuma ada beberapa sekolah yang menghadapi masalah tertentu untuk mengisi data.

Diharapkan prestasi Saringan 3 bagi daerah Petaling Perdana akan mencapai target seperti mana yang dikehendaki oleh pihak PPD Petaling Perdana dan juga pihak KPM.

Tuesday, 26 October 2010

Pengisian Data LINUS Saringan 3

Pengisian data LINUS untuk Saringan 3 telah pun dibuka mulai pada hari ini sehingga 5 November 2010. Data boleh diisi secara dalam talian di portal NKRA KPM.

[caption id="attachment_411" align="aligncenter" width="300" caption="Portal NKRA KPM"][/caption]

Nota dari Portal NKRA KPM

PERHATIAN :

1.  Data hendaklah diisi mengikut jumlah murid bagi setiap kelas dalam aliran tahun 1, walaupun semuanya telah berada di aliran perdana (BUKAN HANYA YANG MENGAMBIL SARINGAN 3 ). Contoh, sekiranya dalam 1 kelas semuanya telah berada di aliran perdana maka tuliskan jumlah murid di dalam kelas tersebut di kotak aliran perdana. Sekiranya dalam kelas tersebut ada murid linus tegar, linus dan perdana, isikah jumlah murid mengikut konstruk yang berkaitan.

2. Jumlah bilangan murid harus JUMLAH SEBENAR yang ada dalam kelas tersebut.

Alhamdulillah, data murid LINUS untuk sekolah saya telah pun selamat diisi.

Saturday, 23 October 2010

Selesai Saringan 3 LINUS

Alhamdulillah, selesai sudah pelaksanaan Saringan 3 LINUS bagi tahun ini. Pada pengamatan saya, murid-murid saya telah pun menunjukkan peningkatan berbanding pada awal-awal tahun.

Murid Literasi saya seramai 29 orang insyaAllah lebih separuh daripada mereka akan melepasi Saringan 3 dan boleh memasuki aliran perdana pada tahun hadapan. Manakala murid Numerasi saya seramai 5 orang akan lulus kesemuanya.

Untuk semua guru-guru LINUS, jangan lupa untuk mengisi data secara dalam talian di portal NKRA seperti biasa yang akan bermula pada 25 Oktober sehingga 5 November 2011.

[caption id="attachment_411" align="aligncenter" width="300" caption="Portal NKRA KPM"][/caption]

Monday, 18 October 2010

Program Taklimat LINUS Saringan 3

Pada hari ini, saya bersama Cikgu Nur Azela telah berkesempatan menghadiri kursus @ taklimat Saringan 3 LINUS di Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam. Setiap sekolah daerah Petaling Perdana menghantar wakil 2 orang guru iaitu penyelaras bagi Literasi dan Numerasi ke kursus ini.

[caption id="attachment_404" align="aligncenter" width="300" caption="Di dalam dewan SK Seksyen 9, Shah Alam"][/caption]

Program dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan ceramah yang disampaikan oleh Puan Rasmin Arni binti Alias dari SK Seafield yang juga merupakan Fasilinus peringkat kebangsaan. Beliau menyampaikan ceramah bertajuk Teknik Soal Jawab dalam Bentuk Nyanyian.

Beliau banyak memberikan idea dan contoh bagaimana guru LINUS boleh mengadaptasikan satu cara baru dalam P&P iaitu menggunakan teknik nyanyian. Ia adalah satu alternatif bagi menggantikan kaedah lama supaya menarik minat murid untuk belajar dan mengingati apa yang dipelajari. Saya merasakan kaedah yang ditunjukkan amat menarik dan memerlukan komitmen dan kesungguhan guru untuk melaksanakannya.

Pada sesi ceramah kedua pula, pihak PPD telah menjemput Cik Nurshahirah binti Abdul Rahman yang merupakan guru prasekolah di SK Seksyen 1, Bandar Kinrara. Dalam ceramah beliau telah membentangkan kaedah pengajaran menggunakan kaedah yang dicipta oleh beliau iaitu Permaidani Ilmu. Beliau menyatakan bahawa kaedah ini membantu murid untuk cepat membaca dan ia diadaptasi daripada permainan ketingting. Bersama-sama ini saya lampirkan gambar Permaidani Ilmu tersebut yang saya perolehi dari blog Prasekolah Petaling Perdana.

[caption id="attachment_402" align="aligncenter" width="225" caption="Cik Nurshahirah yang mencipta Permaidani Ilmu"][/caption]

[caption id="attachment_403" align="aligncenter" width="300" caption="Set Permaidani Ilmu"][/caption]

Akhir sekali, guru-guru diberi taklimat tentang pelaksanaan Saringan 3 LINUS. Guru-guru LINUS telah diingatkan supaya bersama-sama menggembeling tenaga supaya matlamat NKRA KPM tercapai pada tahun ini.

Tuesday, 12 October 2010

KPLI-SR dan KPLI-jQAF Ambilan Januari 2011

Sumber dari Laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia

Assalamu'alaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Aplikasi Permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-SR dan KPLI-jQAF) Ambilan Jan 2011 boleh dibuat mulai pada 11 Oktober 2010 (Isnin) melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia : http://www.moe.gov.my.

Calon dikehendaki mendapatkan NO PIN di cawangan BSN berhampiran sebelum membuat permohonan.

Sekian, terima kasih.



Saturday, 9 October 2010

Saringan Penetapan Kelas untuk Tahun 1 sesi 2011

Pada hari ini, seramai 134 orang kanak-kanak yang bakal memasuki kelas Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(1) menduduki saringan untuk penetapan kelas Tahun 1 bagi sesi 2011.

Saringan dimulakan pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.30 pagi.

Saya turut ditugaskan untuk mengawasi dan membantu kanak-kanak ini. Satu persatu wajah mereka saya perhatikan kerana inilah bakal-bakal murid yang akan saya ajar pada tahun hadapan.

Selepas ini, perlulah saya menanda kertas jawapan mereka ini dan diselesaikan sebelum menjelangnya PKSR 2. Jika tidak berganda-gandalah kerja nanti. :-)

[caption id="attachment_350" align="aligncenter" width="410" caption="Cikgu Siti Rahimah sedang memberikan penerangan cara menjawab soalan"][/caption]

[caption id="attachment_351" align="aligncenter" width="410" caption="Guru-guru mengawasi murid-murid menjawab soalan"][/caption]

[caption id="attachment_352" align="aligncenter" width="410" caption="Murid tekun menjawab soalan"][/caption]

Jamuan Hari Raya SK Seksyen 27(1)

Majlis sambutan hari raya Aidilfitri peringkat sekolah telah dianjurkan oleh pihak PIBG SK Seksyen 27(1) dengan kerjasama pihak sekolah. Majlis ini bermula pada jam 8.00 malam.

Majlis ini turut mengundang ibu bapa murid. Jamuan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara pihak sekolah dan juga ibu bapa.

Saya turut berkesempatan hadir bersama-sama dengan isteri dan anak saya. Kehadiran pada malam itu amat menggalakkan dan di luar jangkaan pihak penganjur.



Wednesday, 6 October 2010

Selamat Hari Lahir Muhammad Haziq

Hari ini, 5 Oktober 2010 merupakan hari ulang tahun pertama anakku Muhammad Haziq. Cepat rasanya masa berlalu. Masih terngiang-ngiang lagi dalam ingatan bagaimana melihat isteriku melahirkan anak sulungku ini di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu. Itulah pengalaman paling berharga yang pernah saya lalui. Memang benarlah kata orang, betapa sakitnya semasa hendak bersalin. Kita sebagai anak sepatutnya menghargai pengorbanan yang dilakukan ibu dan ayah kita.

Kini anak saya Muhammad Haziq semakin lasak. Habis tangga rumah, sofa, kerusi pun ingin dipanjatnya. Kadang-kadang penat juga mengejarnya. Hehe… Alhamdulillah, hingga kini Muhammad Haziq dapat membesar dengan keadaan sihat. Semoga Muhammad Haziq dapat menjadi anak yang soleh sebagai permata ayah dan umi. Insya-Allah, Muhammad Haziq akan mendapat adik pada tahun hadapan. :-)

[caption id="attachment_370" align="aligncenter" width="209" caption="Muhammad Haziq bin Fakhrul Anwar"][/caption]

Saturday, 2 October 2010

Bulan Bahasa Kebangsaan

Bersama-samalah kita memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pertuturan seharian.



http://www.youtube.com/watch?v=JTBLGvwrFDQ&feature=&p=2EA22832E9E02A5C&index=0&playnext=1

Friday, 1 October 2010

I Wanna Be Somebody

Pada malam ini, sambil merehat-rehatkan minda saya memasang lagu-lagu nasyid koleksi saya dalam komputer riba ini sebagai halwa telinga. Tiba-tiba saya terpandang kepada sebuah tajuk lagu yang sudah lama saya tidak mendengarinya. Tajuknya "I Wanna Be Somebody" nyanyian kumpulan AlarmMe yang satu masa dahulu terkenal dengan lagu Bulan-Bulan Islam. Saya rasakan liriknya amat menarik. Saya fikir mungkin kita boleh kongsi-kongsikan sesama kita khususnya bagi memotivasikan anak murid kita.



Bila ku sedar kemampuan
Tak sebijak persis insan lain
Membuat citaku tak kesampaian

Mujurlah sempat ku kikis sikap itu
Masa depanku aku yang menentukannya
Kejayaan bukan percuma
Malas usaha kelompang jiwa

Telah ku bukti pada semua
Bersungguh pasti kan berjaya
Ku kini mampu melakukannya

Jangan jemu pada ilmu
Dengannya kita akan dimulia
Jadilah orang yang berguna

Tuhan tak akan mengubah nasib kita
Selagi tak usaha kepada yang lebih baik
Tak tahu bertanya orang bijaksana
Setelah berjaya..janganlah alpa

Tuesday, 21 September 2010

Guru Sebagai Cermin Keperibadian Murid

Dipetik dari Harian Metro

DUNIA pendidikan sentiasa menjadi tumpuan semua pihak kerana tunjang utama dalam pemerkasaan pembangunan negara dijana melalui keberkesanan sistem pendidikan. Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi pemangkin kepada usaha membina generasi modal insan bertaraf dunia.

Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020.

Peranan dan cabaran golongan pendidik pada masa mutakhir ini semakin ‘diasak’ dengan pelbagai isu yang diberikan penekanan dan perhatian wajar. Antaranya ialah gejala kes pelanggaran disiplin seperti ponteng sekolah, kejadian buli khususnya di asrama, biadab terhadap guru, perbuatan vandalisme yang menjijikkan mata memandang, memeras ugut pelajar junior, bergaduh dalam kawasan sekolah dan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Semua isu ini perlu ditangani secara berkesan oleh sekolah kerana jika dibiarkan berterusan akan menjadi wabak yang membarah dalam kalangan anak muda kita. Dengan demikian, peranan dan tanggungjawab semua guru mesti menjurus kepada pembinaan sahsiah pelajar yang murni dan bukan setakat menjadi penyampai ilmu pengetahuan saja. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengatakan, ‘guru bukan saja bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang dan budaya yang diterima olehnya.’ (Petikan ucapan beliau pada Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Ipoh pada 16 Mei 2000 ). Jadi, di sini jelas menunjukkan kepada kita memang menjadi tanggungjawab teras seseorang guru itu membentuk jati diri anak muridnya dengan keluhuran budi pekerti yang tinggi dan terpuji.






Sebenarnya, teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan memberi pendidikan akhlak murni. Jadi, dalam apa jua mata pelajaran yang diajar oleh seseorang guru, penerapan nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan ‘nilai merentas kurikulum’. Malah, seseorang guru sepatutnya memahami dan menghayati sedalam-dalamnya tafsiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini. FPK antara lain menyatakan, ‘Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Jika diteliti secara mendalam inti pati FPK itu, memang sudah lengkap dan tepat dalam usaha membina generasi warganegara yang seimbang dan mampu menjana keperkasaan tamadun bangsa serta negara.

Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman yang juga Presiden Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) menggariskan beberapa peranan yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang guru dalam merealisasikan FPK itu. Antaranya ialah guru bertindak sebagai pendakwah. Ini bermaksud guru bukan saja memainkan peranan sebagai pengajar, tetapi seharusnya mendidik anak didiknya dengan nilai akhlak mulia. Guru juga pendidik yang mendidik anak murid secara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Menurut beliau lagi, seseorang guru adalah pemimpin. Ertinya memimpin dan memandu pelajar menjalankan sesuatu tugasan dengan betul dan berkesan. Seterusnya guru adalah pekerja yang mematuhi segala etika profesion ke arah membina anak muridnya menepati acuan sebagaimana yang termaktub dalam FPK. Guru juga boleh dianggap sebagai seorang pengusaha. Dengan itu untuk memenuhi ciri pengusaha yang dinamik, guru perlu mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir secara inovatif dan kreatif. Contohnya, bagaimana seseorang guru itu berupaya menarik perhatian pelajar agar sentiasa menerapkan disiplin diri yang unggul dan mematuhi ajaran agama. Selain itu, seseorang guru juga mesti bersikap profesional dalam bekerja dengan menunjuk contoh yang baik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji. Ini penting kerana guru akan menjadi perhatian pelajar dan akan diikuti. Jangan pula seperti ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul.’ Selain itu, menurut Dr Abdullah Sudin, seseorang guru mesti menjadi seorang pengikut yang baik. Ini bermaksud guru itu seharusnya taat dan mematuhi arahan ketua dalam melaksanakan sebarang tugasan dengan bersedia berkorban masa dan tenaga semaksimum boleh. Seterusnya guru juga berperanan sebagai seorang pejuang. Apakah maksud pejuang di sini? Tentulah perjuangan dalam menyempurnakan amanah negara dalam memberi pendidikan kepada anak bangsa dengan semangat waja dan tanpa putus asa. Seseorang pejuang sudah tentu tidak boleh berputus asa apabila berhadapan dengan kesulitan. Begitulah dengan guru. Apapun cabaran dan kekangannya, tugas dan amanah mesti diteruskan dengan efektif. Pejuang juga mesti ikhlas dalam perjuangannya. Demikianlah juga dengan guru, mereka seharusnya ikhlas dalam melaksanakan tugas mendidik anak bangsa. Kata Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, ‘ciri guru yang cemerlang ialah ikhlas mengajar ilmunya, memiliki tekad yang kuat untuk memberi manfaat yang terbaik untuk anak muridnya dan berusaha kuat menghantarkan mereka pada ketinggian darjat orang yang berilmu.’ Al Imam Al Ghazali pula ada mengatakan: ‘Guru perlu menanamkan niat mereka mengajar demi menyelamatkan anak muridnya daripada kesengsaraan di akhirat kelak.’ Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar dan insaf bahawa di bahu mereka terletaknya amanah Allah dan harapan negara dalam membina generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia serta bersahsiah ‘towering personality.’ Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan oleh Beecher, ‘kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya.’ Demikian juga guru seharusnya menghayati kata-kata daripada Mann Horace ini, ‘seseorang guru yang mengajar tanpa cuba menimbulkan dan menghidupkan keinginan serta semangat belajar dalam kalangan muridnya seperti orang yang menempa besi yang dingin.’ Selamat mendidik anak bangsa.

Penulis seorang guru

Sunday, 19 September 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan UPSR 2010


Saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan UPSR 2010 kepada semua calon UPSR 2010 seluruh Malaysia khususnya murid-murid saya di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(1), Shah Alam. Semoga kalian beroleh kejayaan. Usaha, doa dan tawakal.

Peperiksaan UPSR ini akan berlangsung bermula pada 21 sehingga 23 September 2010.

Kenali Disleksia

Apa itu Disleksia?

Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang yang menghidap disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan penghidap yang lain.

Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi penghidap disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas. Kanak-kanak ini akan diberikan bimbingan dengan betul untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan ibu bapa apabila dewasa.

Selain itu terdapat juga beberapa perkataan lain yang berkaitan dengan disleksia, antaranya ialah:

* Dyscalculia (Diskalkulia) - bermasalah dalam pengiraan ataupun matematik;
* Dysgraphia (Disgrafia) - bermasalah dalam bahasa; dan
* Dyspraxia (Dispraksia) - bermasalah dalam koordinasi motor-mata-tangan.



Ciri-ciri penghidap Disleksia

1. Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
2. Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
3. Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
4. Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'p' dan 'p' dianggap 'q'.
5. Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
6. Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
7. Sering berlaku dalam kalangan lelaki.
8. Kerap berlaku dalam kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
9. Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.

Punca-Punca Disleksia

Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa dalam kandungan ataupun daripada kemalangan.

Faktor keturunan juga dikatakan sebagai salah satu punca disleksia. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.

Masalah Kanak-Kanak yang Menghadapi Disleksia

Masalah utama yang dihadapi kanak-kanak disleksia kebanyakanya adalah dalam proses pembelajaran. Permasalahan ini boleh dikelaskan kepada;

Mengeja
Kelemahan mengeja akan menyebabkan kebolehan untuk menyampaikan pengetahuan yang diperolehi adalah terhad. Untuk tempoh jangka masa yang panjang kelemahan dalam proses mengeja akan memberi kesan terhadap kelemahan membaca. Timbulnya masalah ini adalah berpunca daripada masalah-masalah awalan seperti terdapatnya kekeliruan dalam mengenal pasti huruf-huruf seperti;
m – w y –g – j u – n m – n
c – e p – q h – n b – d

Terdapat juga kekeliruan dalam membunyikan huruf seperti
t – h f – v

Membaca
Kesukaran ini menghadkan kebolehan kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat daripada rujukan-rujukan yang berkaitan. Secara langsung ianya akan membuat kanak-kanak merasa rendah diri dan tidak berkeyakinan. Mereka cenderung menterbalikkan perkataan seperti:

Batu – tuba
Gula – lagu


Selain itu mereka juga melakukan pembalikkan dalam ayat. Contohnya seperti berikut:

pada masa yang sama – dapa masa yang masa

Kekeliruan perkataan antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Contohnya seperti berikut:

Jam – jem
cat – cat


Menulis
Kanak-kanak ini juga mengalami kesukaran untuk memindahkan maklumat ke atas kertas. Mereka juga mengalami kesukaran untuk memegang pensel dan tidak dapat menulis mengikut garisan yang disediakan. Kanak-kanak ini juga cenderung menulis perkataan yang pelik-pelik.



Bercakap dan mendengar
Terdapat juga dalam kalangan mereka yang mengalami kesukaran untuk bertutur. Mereka juga kelihatan seperti tidak mendengar atau mempedulikan. Hal ini berlaku disebabkan kelambatan dalam proses maklumat yang diperolehi. Mereka juga tidak melakukan atau menyusun sesuatu mengikut susunan.

Nombor
Kanak-kanak ini juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran yang berkaitan dengan matematik mental. Terdapat kekeliruan terhadap tanda dan simbol dan suka menterbalikkan nombor yang sama. Contohnya seperti berikut :
3 – 5 – 8

9 – 6

Masalah fizikal, pengurusan diri dan sosial
- Pakaian sentiasa tidak kemas tetapi tidak kotor dan pandai membutangkan baju, kidal dan pandai mengikat tali kasut
- Kelihatan berminat dalam pelajaran tetapi dilabel pemalas dan kelihatan bodoh
- Skop penglihatan yang terhad di mana keliru antara depan, belakang, kiri, kanan,, atas, bawah serta pengamatan yang lemah.

Rawatan Kanak-Kanak Disleksia

Berikut adalah beberapa cadangan untuk rawatan kanak-kanak disleksia. Apa pun ia bergantung kepada kesesuaian keadaan kanak-kanak.

1. Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal.
2. Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
3. Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi.
4. Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
5. Membacakan cerita untuk anak-anak dan sentiasa mendampingi mereka.
6. Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.
7. Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap perihatin dalam mengekalkan suasana harmoni.
8. Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik.
9. Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai.

Disunting dari:
1. http://ppdlms.edu.my/pk/?p=1179
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Disleksia

Sunday, 4 July 2010

Bahan Bantu Mengajar 2

Masa terluang yang ada saya berkesempatan  menyiapkan beberapa bahan bantu mengajar (BBM) yang boleh digunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) saya di dalam kelas nanti.

Bersama-sama ini saya sertakan gambar-gambar BBM saya ini. BBM ini biasa-biasa sahaja, namun mungkin boleh dikongsikan bersama. Kebanyakan BBM ini adalah dalam bentuk carta sahaja. Insya-Allah ada kelapangan masa saya akan bina BBM yang lain.

[caption id="attachment_260" align="aligncenter" width="450" caption="Mengenal Nombor 11 - 20"][/caption]

[caption id="attachment_261" align="aligncenter" width="450" caption="Mengenal Nombor 16 - 20 dalam bentuk perkataan"][/caption]

[caption id="attachment_262" align="aligncenter" width="450" caption="Permainan Dam Ular dalam skala besar bersaiz kertas manilakad."][/caption]

[caption id="attachment_263" align="aligncenter" width="480" caption="BBM yang saya sempat siapkan dalam 1 hari"][/caption]

[caption id="attachment_264" align="aligncenter" width="450" caption="Carta Hari"][/caption]

[caption id="attachment_265" align="aligncenter" width="450" caption="Carta Tingkap perkataan KV+KV"][/caption]

Saturday, 8 May 2010

15,500 guru selesai jalani kursus LINUS

Dipetik daripada Berita Harian (7 Mei 2010)
Oleh Norfatimah Ahmad

Bantu kanak-kanak lembap kuasai kemahiran 3M

KUALA LUMPUR: Seramai 15,500 guru pemulihan yang akan mengendalikan Program Literasi dan Numerasi (Linus) selesai menjalani kursus untuk membantu murid Tahun Satu yang gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata selain itu, 600 guru yang bertugas sebagai fasilinus atau fasilitator juga sedia untuk memantau pelaksanaan program berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, setiap sekolah sepatutnya sudah mengenal pasti murid yang akan diasingkan ketika subjek Bahasa Melayu dan Matematik untuk membolehkan mereka mengikut pembelajaran menerusi Linus.

“Modul untuk Linus termasuk buku aktiviti juga sudah siap, malah ada sekolah sudah memulakan program ini sejak April lalu,” katanya.

Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan program Linus khusus untuk murid yang dikenal pasti lembap dalam pembelajaran.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu antara empat inisiatif sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memperkukuhkan tahap literasi murid sekolah rendah daripada 87 peratus tahun lalu kepada 90 peratus tahun ini.
Menerusi Linus, kerajaan menetapkan sasaran semua kanak-kanak berupaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah.

Noor Rezan, berkata tiga model utama digariskan bagi memudahkan pengurusan sekolah melaksanakan Linus dengan berkesan mengikut kesesuaian dan situasi sekolah, guru dan murid masing-masing.

“Jika kelas terhad, guru aliran perdana boleh berkongsi kelas dengan guru Linus kecuali ada ruang lain yang lebih sesuai untuk mengasingkan kedua-duanya.

“Menerusi model kedua, dua kelas yang mempunyai murid pemulihan perlu diubah jadual waktu harian untuk subjek Bahasa Melayu dan Matematik supaya kedua-dua dapat dipecahkan antara kelas perdana dan Linus,” katanya.

Beliau berkata, bagi model ketiga pula, ia membabitkan kumpulan murid yang kecil apabila kelas dipecahkan kepada tiga membabitkan murid arus perdana, Bahasa Melayu dan Matematik.

Katanya, semua murid Linus hanya diasingkan pada dua subjek terbabit kerana program ini memberi penekanan khusus kepada aspek 3M membabitkan Bahasa Melayu dan Matematik.

Wednesday, 3 March 2010

Carta Alir Program LINUS

[caption id="attachment_337" align="aligncenter" width="450" caption="Carta Alir LINUS"]Carta Alir LINUS[/caption]

Monday, 1 March 2010

Murid-murid Tahun 1 Jujur (LINUS)

Inilah murid-murid kelas saya Tahun 1 Jujur Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(1). Mereka merupakan murid-murid yang mengikuti program LINUS.

[caption id="attachment_270" align="aligncenter" width="450" caption="Murid-murid Tahun 1 Jujur SK Seksyen 27(1), Shah Alam"][/caption]

Saturday, 30 January 2010

Menghiaskan Kelas 1 Jujur

Saya telah diamanahkan oleh pihak sekolah untuk mengambil alih tugas guru kelas Tahun 1 Jujur, yang mana kelas ini akan menempatkan murid-murid yang mengikuti program LINUS.

Banyak perkara rasanya perlu dilakukan bagi menghias dan mengindahkan kelas ini supaya dapat menarik perhatian murid-murid untuk belajar dan juga mereka lebih bersemangat datang ke sekolah.

Saya sertakan beberapa carta hiasan yang sempat saya bina dan tampal di sudut-sudut tertentu di dalam kelas.